GEORGETOWN : “Kami akan saman!” Itu keputusan diambil pengurusan HPA Industries Sdn Bhd (HPA) dalam usaha mengelak produk utama syarikat itu daripada terus diciplak. Malah, pengurusan syarikat jualan langsung milik Bumiputera terbesar di negara ini memberi amaran tindakan saman bukan hanya membabitkan pengeluar Kopi Radix tiruan, tetapi juga penjual dan premis yang menyimpan produk itu.


Penasihat Undang-Undang HPA, Abdul Ghany Saad, berkata dengan pendekatan itu, pihaknya menjangka masalah Kopi Radix tiruan di pasaran dapat diatasi dalam tempoh terdekat. Menurutnya, pada masa ini, skuad penyiasat yang ditubuhkan HPA mengesan beberapa pemborong yang membeli produk Kopi Radix tiruan di sekitar Seberang Prai, Pulau Pinang dan utara Perak.

“Kami (HPA) berharap mendapat maklumat mengenai punca kepada semua masalah ini daripada pemborong yang dikesan. “Jika pemborong terbabit tidak bekerjasama, kami (HPA) tidak akan teragak-agak mengambil tindakan saman sivil ke atas mereka bagi menuntut kerugian kerana menjual produk tiruan,” katanya.

Beliau berkata, HPA yakin dengan kerjasama erat daripada pihak berkuasa, masalah itu akan dapat diatasi tidak lama lagi. Menurutnya, seramai 1,000 kakitangan dan 500,000 ahli syarikat jualan langsung (MLM) milik Bumiputera itu membantu syarikat berkenaan dalam mengatasi masalah terbabit.

“Syarikat amat memandang serius masalah ini dan kami tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas termasuk saman ke atas mana-mana pihak yang didapati menyimpan atau menjual Kopi Radix tiruan.“Kami ingin menjadikan ia sebagai pengajaran bagi menghapuskan masalah kopi tiruan ini supaya tidak lagi berbangkit pada masa depan,” katanya.

0 KOMEN ANDA:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails